
Piala Dunia FIFA
pertandingan bola sepak antarabangsa
Piala Dunia FIFA, sering dipanggil sebagai Piala Dunia, ialah pertandingan bola sepak antarabangsa yang dipertandingkan oleh pasukan kebangsaan lelaki senior ahli Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), badan induk bola sepak dunia. Kejohanan ini dianjurkan setiap empat tahun sejak edisi pertama pada tahun 1930, kecuali pada tahun 1942 dan 1946 kerana Perang Dunia Kedua. Juara semasa ialah Perancis yang memenangi gelaran kedua mereka pada kejohanan 2018 di Rusia.
Format semasa melibatkan fasa kelayakan yang berlangsung selama tiga tahun sebelumnya untuk menentukan pasukan yang layak ke fasa kejohanan. Dalam fasa kejohanan, 32 pasukan, termasuk negara tuan rumah yang layak secara automatik, bersaing untuk merebut gelaran di venue dalam negara tuan rumah selama kira-kira sebulan.
Sebanyak 21 edisi Piala Dunia telah dimenangi oleh lapan pasukan kebangsaan. Brazil telah menang sebanyak lima kali dan merupakan satu-satunya pasukan yang menyertai setiap kejohanan. Pemenang lain ialah Jerman dan Itali dengan empat gelaran setiap satu; Argentina, Perancis, dan Uruguay (juara pertama) dengan dua gelaran setiap satu; serta England dan Sepanyol dengan satu gelaran setiap satu.
Piala Dunia merupakan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia serta acara sukan tunggal paling banyak ditonton dan diikuti di seluruh dunia. Jumlah tontonan semua perlawanan Piala Dunia 2006 dianggarkan sebanyak 26.29 bilion, dengan 715.1 juta orang menonton perlawanan akhir – kira-kira satu per sembilan daripada populasi dunia.
Sebanyak 17 negara pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia. Brazil, Perancis, Itali, Jerman, dan Mexico masing-masing telah menjadi tuan rumah dua kali, manakala Uruguay, Switzerland, Sweden, Chile, England, Argentina, Sepanyol, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan (secara bersama), Afrika Selatan, dan Rusia masing-masing sekali. Qatar menjadi tuan rumah untuk edisi 2022, manakala edisi 2026 akan dianjurkan bersama oleh Kanada, Amerika Syarikat, dan Mexico – menjadikan Mexico negara pertama yang menjadi tuan rumah tiga kali.
Perlawanan bola sepak antarabangsa pertama di dunia ialah perlawanan cabaran antara Scotland dan England di Glasgow pada tahun 1872, yang berakhir dengan keputusan seri 0–0. Kejohanan antarabangsa pertama ialah Kejohanan British Home yang dimulakan pada tahun 1884. Apabila bola sepak mula mendapat sambutan di seluruh dunia pada awal abad ke-20, ia diperkenalkan sebagai sukan demonstrasi tanpa anugerah pingat pada Sukan Olimpik 1900 dan 1904 (walaupun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa kemudian mengiktirafnya secara rasmi), serta pada Sukan Antara-Kala 1906.
Selepas FIFA ditubuhkan pada tahun 1904, mereka cuba menganjurkan kejohanan bola sepak antarabangsa di luar kerangka Olimpik di Switzerland pada tahun 1906. Namun, ini merupakan zaman awal bola sepak antarabangsa, dan sejarah rasmi FIFA menganggap kejohanan itu sebagai kegagalan.
Pada Sukan Olimpik 1908 di London, bola sepak menjadi acara rasmi. Dirancang oleh The Football Association (FA), badan bola sepak England, kejohanan itu hanya terbuka kepada pemain amatur dan dilihat lebih kepada pertunjukan berbanding pertandingan. Great Britain (diwakili oleh pasukan bola sepak amatur England) memenangi pingat emas dan mengulanginya lagi pada Sukan Olimpik 1912 di Stockholm.
Oleh kerana kejohanan Olimpik hanya melibatkan pasukan amatur, Sir Thomas Lipton menganjurkan kejohanan Piala Sir Thomas Lipton di Turin pada tahun 1909. Kejohanan ini melibatkan kelab profesional dari negara-negara berbeza dan dianggap sebagai Piala Dunia pertama. Namun, FA England enggan terlibat dan tidak menghantar pasukan profesional. Lipton menjemput West Auckland, sebuah kelab amatur dari County Durham, untuk mewakili England. West Auckland memenangi kejohanan tersebut dan mempertahankan kejuaraan mereka pada tahun 1911.
Pada tahun 1914, FIFA bersetuju untuk mengiktiraf kejohanan bola sepak Olimpik sebagai "kejohanan dunia untuk amatur", dan mengambil alih tanggungjawab menguruskan acara tersebut. Ini membuka jalan kepada kejohanan bola sepak antara benua pertama di dunia pada Sukan Olimpik 1920 yang disertai oleh Mesir dan 13 pasukan Eropah, dan dimenangi oleh Belgium. Uruguay memenangi dua edisi Olimpik seterusnya pada 1924 dan 1928. Kedua-dua kejohanan itu juga dianggap sebagai kejohanan dunia pertama secara terbuka, dengan 1924 menandakan permulaan era profesional FIFA.