
CONMEBOL Copa América
Kejuaraan Bola Sepak Amerika Selatan
Copa América (Bahasa Inggeris: Piala Amerika) atau CONMEBOL Copa América, yang dikenali sehingga tahun 1975 sebagai Kejuaraan Bola Sepak Amerika Selatan (Campeonato Sudamericano de Fútbol dalam Bahasa Sepanyol dan Copa Sul-Americana de Futebol dalam Bahasa Portugis), adalah kejohanan bola sepak utama lelaki yang dipertandingkan di antara pasukan kebangsaan dari Amerika Selatan. Ia merupakan kejohanan bola sepak benua yang tertua yang masih dijalankan serta menjadi kejohanan ketiga yang paling banyak ditonton di dunia. Kejohanan ini menentukan juara Amerika Selatan. Sejak tahun 1990-an, pasukan dari Amerika Utara dan Asia juga telah dijemput untuk bertanding.
Sejak 1993, kejohanan ini biasanya menampilkan 12 pasukan — kesemua 10 pasukan CONMEBOL dan dua pasukan tambahan dari konfederasi lain. Mexico telah menyertai setiap kejohanan antara 1993 hingga 2016, dengan satu pasukan tambahan dari CONCACAF, kecuali pada tahun 1999, apabila pasukan AFC Jepun mengisi tempat ke-12, dan pada 2019, yang menampilkan Jepun dan Qatar. Versi 2016 kejohanan, Copa América Centenario, menampilkan 16 pasukan, dengan enam pasukan dari CONCACAF selain 10 dari CONMEBOL. Kedudukan naib juara dua kali Mexico merupakan pencapaian tertinggi bagi pasukan bukan-CONMEBOL.
Lapan daripada sepuluh pasukan kebangsaan CONMEBOL telah memenangi kejohanan sekurang-kurangnya sekali dalam 47 edisi sejak penganjuran pertama pada 1916, dengan hanya Ecuador dan Venezuela yang belum memenangi. Argentina dan Uruguay mempunyai rekod juara terbanyak dalam sejarah kejohanan, dengan 15 piala setiap satu. Argentina, yang menjadi tuan rumah edisi pertama pada 1916, telah menjadi tuan rumah kejohanan paling banyak (sembilan kali). Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara bukan-CONMEBOL yang menjadi tuan rumah, iaitu pada tahun 2016. Pada tiga kali kesempatan (1975, 1979, dan 1983), kejohanan diadakan di beberapa negara Amerika Selatan.
Pasukan bola sepak pertama di Amerika Selatan, Lima Cricket and Football Club, ditubuhkan di Peru pada 1859, dan Persatuan Bola Sepak Argentina diasaskan pada 1893. Menjelang awal abad ke-20, bola sepak semakin popular, dan pertandingan antarabangsa pertama di antara pasukan kebangsaan di benua itu diadakan pada tahun 1910 apabila Argentina menganjurkan acara untuk memperingati ulang tahun ke-100 Revolusi Mei. Chile dan Uruguay turut serta, tetapi acara ini tidak dianggap rasmi oleh CONMEBOL. Begitu juga, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan, Argentina menganjurkan kejohanan dari 2 hingga 17 Julai 1916 dengan penyertaan Argentina, Chile, Uruguay, dan Brazil sebagai peserta pertama. Kejohanan yang dinamakan Campeonato Sudamericano de Football ini merupakan edisi pertama bagi apa yang kini dikenali sebagai Copa América; Uruguay muncul juara selepas seri 0–0 dengan tuan rumah Argentina dalam perlawanan penentuan terakhir di Estadio Racing Club di Avellaneda.
Melihat kejayaan kejohanan ini, seorang ahli lembaga Persatuan Bola Sepak Uruguay, Héctor Rivadavia, mencadangkan penubuhan konfederasi bagi persatuan Argentina, Brazil, Chile, dan Uruguay, dan pada 9 Julai, hari kemerdekaan Argentina, CONMEBOL ditubuhkan. Tahun berikutnya, kejohanan diadakan sekali lagi, kali ini di Uruguay. Uruguay menjuarai kejohanan itu sekali lagi untuk menjuarai dua kali berturut-turut selepas mengalahkan Argentina 1–0 dalam perlawanan terakhir. Kejayaan kejohanan di Uruguay membantu mengukuhkan kejohanan tersebut. Selepas wabak influenza di Rio de Janeiro membatalkan kejohanan 1918, Brazil menjadi tuan rumah kejohanan pada 1919 dan muncul juara buat pertama kali selepas mengalahkan juara bertahan 1–0 dalam perlawanan playoff untuk menentukan gelaran, sementara bandar Viña del Mar di Chile menjadi tuan rumah kejohanan 1920 yang dimenangi oleh Uruguay.
Pada kejohanan 1921, Paraguay menyertai buat pertama kali selepas persatuan bolasepaknya menjadi ahli CONMEBOL pada tahun yang sama. Argentina memenangi kejohanan untuk kali pertama dengan bantuan gol-gol Julio Libonatti. Pada tahun-tahun berikutnya, Uruguay menguasai kejohanan, yang ketika itu merupakan kejohanan bola sepak terbesar di dunia. Namun, Argentina tidak ketinggalan dan bersaing merebut keunggulan dengan Uruguay. Selepas tewas pada final Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, Argentina membalas dendam dengan menjuarai Kejuaraan Amerika Selatan 1929 selepas menewaskan Uruguay dalam perlawanan penentu terakhir. Dalam tempoh ini, Bolivia dan Peru membuat penampilan pertama mereka dalam kejohanan masing-masing pada 1926 dan 1927.